SUNWAY BATU CAVES FC UNGGULI MINGGU PERTAMA GOMBAK SOCIAL LEAGUE
Foto: Cameraput Sports Photo/@cameraput
Saingan Gombak Social League 2024 anjuran Football Gombak sudah pun bermula dengan 12 pasukan berusaha untuk merebut kejuaraan. Diadakan di UIA Football Turf, Gombak selama 11 minggu. Aksi pertama sudah diadakan pada 5 dan 6 Ogos yang lalu. Berikut merupakan rangkuman bagi aksi pertama yang semestinya sudah mencipta drama dalam saingan ini.
REKOD BERSIH HARI PERTAMA
Ia merupakan hari yang cemerlang bagi tiga pasukan yang beraksi pada 5 Ogos apabila mereka memulakan saingan dengan rentak kemenangan. OSK UK II, Mulianz City FC dan Xhunter FC masing-masing mencatatkan kemenangan dengan mereka menewaskan Kaki Jersi FT, FC Setapak City dan Big Boss FC. Apa yang menariknya, kesemua pemenang ini mengutip tiga mata dengan tidak memboloskan sebarang gol atau cleansheet dan ini memberikan kelebihan buat mereka pada aksi kedua kelak. OSK UK II menewaskan Kaki Jersi FT 2-0, sementara Mulianz City FC mengalahkan FC Setapak City 3-0 dan Xhunter menang tipis 1-0 ke atas Big Boss FC.
Foto: Cameraput Sports Photo/@cameraput
Foto: Cameraput Sports Photo/@cameraput
PESTA GOL UNTUK SUNWAY BATU CAVES FC!
Baki tiga lagi aksi pada 6 Ogos menyaksikan tempo semakin meningkat apabila pasukan-pasukan bertanding mula menunjukkan taring masing-masing. Ia terpancar jelas menerusi aksi Sunway Batu Caves FC yang mencatatkan kemenangan paling besar menewaskan Young Boyz FC dengan keputusan 7-1. Momentum itu turut diikuti oleh Somontaro FC yang turut membelasah Major FC 4-0 pada aksi pertama liga. Turut mencatatkan kemenangan adalah Debok FT yang mengalahkan DNF Football Club 3-1.
MOMENTUM AWAL DIBINA
Selepas tamat satu perlawanan, kemenangan besar diraih Sunway Batu Caves FC nyata membantu mereka untuk menduduki tangga teratas liga menerusi kelebihan jaringan. Mereka diikuti rapat Somontaro FC, Mulianz City FC, Debok FT, OSV UK II dan Xhunter FC yang juga mengutip tiga mata. Manakala kekalahan teruk dialami Young Boyz FC meletakkan mereka di tempat tercorot selain Major FC dan FC Setapak City yang turut menghuni kedudukan tiga terbawah. Aksi seterusnya akan diadakan pada 12 dan 13 Ogos ini dengan enam perlawanan akan diadakan di UIA Football Turf pada pukul 8 malam, 9.30 malam dan 11.30 malam:
12 Ogos 2024:
Big Boss FC lawan Major FC
Mulianz City FC lawan Xhunter FC
Young Boyz FC lawan OSV UK II
13 Ogos 2024:
Somontaro FC lawan Sunway Batu Caves FC
Kaki Jersi FT lawan Debok FT
DNF Football Club lawan FC Setapak City
Foto: Cameraput Sports Photo/@cameraput
GOMBAK JUNIOR CUP: AKAN DATANG!
Dalam masa yang sama, Football Gombak turut membawakan Gombak Junior Cup yang bertujuan untuk mencungkil bakat muda dalam bola sepak di kawasan Gombak. Bermula dari saingan bawah 9 tahun (B-9) merentasi pertandingan B-11, B-14 hinggalah B-16. Gombak Junior Cup akan bermula pada penghujung September nanti. Info lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat. Oleh itu, teruskan setia bersama kami di Football Gombak!