MAJOR FC BUAT KEJUTAN
Saingan semakin panas memasuki minggu ketujuh bagi saingan Gombak Social League. Enam perlawanan diadakan pada 16 dan 17 September di UIA Football Turf, Gombak dengan kontroversi terus mewarnai perlawanan yang diadakan. Malah, ada juga perkara tidak diduga berlaku pada perlawanan minggu ini.
KONTROVERSI DI HARI MALAYSIA
Sambutan Hari Malaysia di UIA Football Turf dihiasi dengan detik kontroversi oleh ketika perlawanan melibatkan OSV UK II dengan Sunway Batu Caves FC. Dalam perlawanan yang begitu panas itu, perlawanan terpaksa dihentikan selepas kedua-dua pasukan tidak dapat mengawal emosi mereka lalu mendorong kepada pergaduhan. Pihak penganjur dan pengadil kemudiannya mengambil keputusan untuk menamatkan perlawanan dengan mereka memberikan kemenangan kepada OSV UK II. OSV UK II menang 4-1 dan itu adalah jumlah jaringan yang terhasil sebelum detik kontroversi bermula.
DUA PASUKAN TARIK DIRI
Saingan minggu ketujuh juga menyaksikan dua pasukan terpaksa menarik diri daripada perlawanan. Pada 16 September, DNF Football Club terpaksa menarik diri dengan kemenangan walkover 3-0 diberikan kepada Big Boss FC. Pada 17 September pula, Young Boyz FC menarik diri dan ia memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Mulianz City FC. Menurut penganjur, DNF Football Club dan Young Boyz FC menarik diri kerana tidak membawa pemain yang cukup untuk menyertai perlawanan.
DEBOK AKHIRNYA KECUNDANG
Baki-baki perlawanan yang lain menyaksikan satu berakhir dengan kemenangan dan dua seri bagi enam lagi pasukan. Debok FT akhirnya kecundang apabila mereka tewas 1-2 kepada Major FC pada perlawanan yang diadakan 16 September. Sementara dua lagi perlawanan berakhir dengan seri pada 17 September apabila FC Setapak City terikat 1-1 dengan Xhunter FC. Manakala Kaki Jersi FT seri 2-2 apabila bertemu Somontaro FC.
ADA PASUKAN BAHARU DI TIGA TERBAIK
Selepas minggu ketujuh, terdapat pasukan baharu yang memasuki kelompok tiga terbaik liga. OSV UK II memintas Sunway Batu Caves FC untuk menduduki tempat ketiga dengan 14 mata. Namun begitu, Sunway Batu Caves FC yang ketinggalan satu mata masih mempunyai baki satu perlawanan. Mulianz City FC mendahului liga dengan 19 mata sambil Debok FT yang tewas, tertinggal empat mata di belakang. Major FC yang menewaskan Debok FT mula mendekatkan diri dengan kelompok pertengahan liga dengan enam mata walaupun masih berada di kedudukan ketiga dari bawah. Sementara Young Boyz FC yang menarik diri kekal sebagai pasukan tercorot.
Aksi seterusnya akan diadakan pada 23 dan 24 September di UIA Football Turf, Gombak. Berikut merupakan perlawanan-perlawanan bagi minggu kelapan:
Big Boss lawan Kaki Jersi
Somontaro lawan Young Boyz
Mulianz City lawan OSV UK II
Sunway Batu Caves lawan Debok
Xhunter lawan DNF
Major lawan Setapak City
Terus setia bersama kami di Football Gombak untuk tidak terlepas pelbagai info menarik mengenai perkembangan bola sepak amatur di Gombak.